BARU sahaja mengumumkan menjalin hubungan dengan seorang wanita British bulan lalu, pelakon terkenal Korea Selatan, Song Joong-ki hari ini sekali lagi mengejutkan peminat.

Dalam satu kenyataan hari ini, Song mengumumkan yang mereka sudah berkahwin dan isterinya kini hamil anak pertama.

"Hari ini, saya ingin berkongsi dengan anda berita berharga dan gembira.

"Saya telah berikrar untuk menghabiskan sisa hidup saya bersama Katy Louise Saunders, seorang wanita yang telah menyokong saya dan setia di sisi saya. Dia seorang yang baik hati dan sentiasa positif dalam hidup.

"Kerana dia, saya menjadi manusia yang lebih baik hari ini.

"Kami berjanji untuk menghabiskan sisa hari kami bersama dengan penuh kasih sayang seperti yang telah kami lakukan selama ini," katanya.

Bulan lalu, sebuah akhbar Korea Selatan melaporkan wanita itu berkewarganegaraan British dan tidak terbabit dengan industri hiburan.

Song mula dikenali menerusi filem A Frozen Flower pada 2008, namun mula meniti populariti luar biasa selepas membintangi drama Sungkyunkwan Scandal (2010), The Innocent Man (2012), Descendants of the Sun (2016), dan siri tvN, Arthdal ​​Chronicles (2019), Vincenzo ( 2021) dan filem A Werewolf Boy (2012) serta Space Sweepers (2021).

Dia pernah berkahwin dengan pasangannya dalam Descendants of the Sun, pelakon Song Hye-kyo pada 2017, tetapi mereka bercerai selepas hampir dua tahun hidup bersama.